selamat datang


..salamullah 'alayk..

Lain padang, lain kemuncupnya.

Lain orang, lain perspektif dirinya..



Saturday, January 28, 2012

Kepayahan.

Bismillah..

Suatu ketika, saya terberhenti. Berfikir sejenak, benarkah saya akan menjadi guru? Guru Bahasa Jerman? Inikah yang saya kejar? Tidak pernah saya bercita-cita untuk menjadi guru bahasa Jerman. Kalau menjadi guru, memang ada tersenarai, tetapi untuk jadi guru agama atau bahasa Arab. Bermimpi pun tidak pernah untuk menjadi guru bahasa Jerman.



Saya memang tidak punya asas dalam bahasa Jerman ini. Dulu pun sekolah agama, belajar Bahasa Arab Tinggi. Mana ada bahasa Jerman. Semua orang pelik dengan saya, saya pun pelik dengan diri sendiri. Niat asalnya hanya ingin mencuba, cuba-cuba mohon katanya. Tidak sangka pula tersangkut.

Selepas mendapat result SPM, saya sudah pergi ke JPN untuk menyediakan cabutan ke luar negara. Mungkin hasrat ke Jordan atau Morocco akan terlaksana. Kerana untuk pengajian agama di Mesir memerlukan STAM. ( di Maahad cuma 2 minggu) Saya ingin mendalami Bahasa Arab dan juga pengajian Islam. Ketika borang sudah saya isi, dan dapat pula tawaran (agen) ke Mesir untuk pergigian, saat itu saya masih lagi ingin terbang. Atau mungkin saja, niat saya bukan untuk mendalami itu, mungkin hanya kerana 'ingin terbang'.

Benarlah, Allah itulah sebaik-baik perancang. Kita hanya mengatur, merencana, tetapi Allah jua lah yang akan mengizinkan atau tidak. Dia tahu yang terbaik untuk hamba-hambaNya.. Dia tidak benarkan saya terbang sekarang, saya tidak tahu kenapa, namun masih mencari hikmah yang tercicir itu..

Sekarang, saya sudah pun masuk semester dua untuk foundation BJ ini.. Kepayahan demi kepayahan saya sambut untuk terus melangkah gagah. Cabaran yang bukan sedikit membuatkan saya kadang lelah. Namun dengan berkat pertolongan Allah, juga pensyarah dan kawan-kawan dapatlah saya bangun semula.

Cabaran yang paling rencam adalah kemalasan diri sendiri. Itu yang sering membuat saya kalah. Saya kalah dalam angan-angan. Saya kalah dalam impian saya sendiri. Begin with the in mind itu tidak berjaya saya resapkan dalam jiwa. Walau sudah saya tampal kata-kata nasihat di meja belajar, masih juga kemalasan itu bertandang. Hal ini menyebabkan kerja kadang bertangguh. Saya tahu itu bukan sifat Muslim. Saya tahu tapi saya mendekatinya. Itu jahil dan itu sifat manusia yang tidak bersyukur. Saya tidak boleh jadi begitu.



Saya berketurunan melayu jawa dan juga cina. Walaupun begitu, slang jawa lebih banyak dalam hormon ini menyebabkan pertuturan Jerman saya kadang nampak aneh, pertuturan Inggeris juga agak ke laut. Tetapi saya akan berusaha juga. Semangat selalu kuat, banyak, namun bila ingin diterjemahkan kepada perbuatan ianya menjadi seperti ilusi. Sebab itu agaknya, Allah tidak meletakkan saya sebagai insan yang boleh terbang. Saya lihat rakan-rakan yang terbang, memang saya cemburu. Teramat! Selalu saya pujuk hati sendiri, saya lihat mereka memang insan yang kuat, begitu kuat emosinya mungkin juga fizikalnya. hehe.

Peperiksaan besar hampir tiba bulan April ini, saya semakin takut dan tenang. Bercampur baur rasanya. Semoga doa kalian menjadi penghubung untuk saya terus kuat. Doakan saya dapat memahami BJ ini dengan cepat dan baik. Saya tidak mahu jahil tentang Eropah, tentang Barat. Mungkin itu antara hikmahnya saya mempelajari ini walaupun tidak dapat terbang ke Eropah/Barat. Dan saya sangat cemburu dengan mereka yang berpeluang mendalami Islam dan islam secara akademik.



Menjadi guru adalah wasilah untuk saya. Supaya anak bangsa saya terus terdidik. Kini, saya ingin jadikan misi guru ini sebagai kerjaya yang saya pilih, bukan kerana dipilih semata-mata. Terima kasih Allah kerana memberikan saya jalan ini. Berikan saya kemudahan ye ya Allah. Semoga kalian semua dirahmati Allah.

tetapi, saya tetap ingin terbang. Melancong pun jadilahhhhh.